~ Anything About My Boring Life ~

Thursday 8 December 2011

Untuk Dia Yang Sudi Bab 3



BAB 3

“SEKARANG cakap betul-betul apa yang berlaku? Kenapa kelam-kabut jadinya?” tegas Puan Ramona.
Dia mula hilang sabar. Sedari tadi dia cuba mendail nombor telefon Eva namun ternyata anak gadisnya itu sudah lebih awal mematikan telefon bimbitnya.
Jasrina sudah hilang kata-kata. Dia hanya mampu mendiamkan diri sambil matanya terkebil-kebil memandang semua orang. Dia benar-benar tidak tahu bagaimana mahu memulakan.
“Jasnita tak salah apa-apa.” Naim pula mencelah tiba-tiba.
“Nama dia Jasrina, bukan Jasnita.” Qalif pula membetulkan.
Hampir tergelak Encik Razlan bila terdengar Naim terbuat lawak namun bila terpandangkan muka isterinya yang cukup serius itu dia terpaksa turut serius.
Jasrina sempat melontar pandangan tajam pada Naim dan Qalif. Entah bagaimana pula Naim boleh tersesat sama  dalam pertemuan ‘enam mata’ ini. Bila matanya bertentang dengan mata Qalif, dia terus menjegilkan mata sebagai isyarat meminta Qalif berterus-terang.
“Habis tu salah siapa? Apa yang terjadi ni? Mana Eva pergi? Dia yang sepatutnya jadi tunang kau, kan?” ujar Datin Shawati bertubi-tubi.
“Qalif tak tahu mana dia pergi.” Terus sahaja Qalif memotong. Mimik mukanya berubah kelat. Masam semacam.
“Dia pergi Hong Kong,” beritahu Naim.
“Hong Kong?” Giliran Dato’ Jafri pula bertanya. “Buat apa kat situ?”
“Tak tahu..” Jasrina takut-takut. “Dia hilang macam tu aje. Alih-alih dia call, beritahu yang dia dalam perjalanan ke sana.”
“Betul ke ni?” Puan Ramona sudah mengecilkan anak mata. Dia masih kurang percaya pada kata-kata Jasrina, Naim, dan Qalif walaupun dia tahu Eva kadang-kala suka bertindak di luar fikiran.
“Takkanlah budak-budak ni nak tipu pulak.” Encik Razlan seakan menyebelahi mereka bertiga.
Datin Shawati memandang Qalif. Wajah anak lelaki sulungnya itu direnung dalam. “Habis tu.. mana satu pilihan Qalif sekarang ni? Mama nak tahu. Perkara ni mana boleh dibuat main-main. Ini membabitkan nama kedua-dua keluarga kita.”
“Mama nak tahu yang mana satu pilihan Qalif?” Qalif memulangkan soalan itu pada ibunya.
Dengan penuh simbolik Qalif memegang tangan Jasrina. Diunjukkan cincin yang disarung tadi pada ibunya. “Sekarang dah jelas yang Qalif pilih Jasrina. Bukan lagi sebagai teman sepermainan sejak kecil. Bukan sebagai kawan rapat lagi. Tapi sekarang sebagai tunangan Qalif dan bakal isteri Qalif.”
“Eh, eh..” Puan Ramona masih lagi tidak berpuas hati. “Nanti dulu!”
Semua mata memandang ke arahnya.
“Macam mana dengan Eva? Kau dah tak ada apa-apa perasaan pada dia lagi? Takkan macam ini aje?”
“Maafkan Qalif mak cik.” Qalif berkata sopan. “Tapi dia tak ada kat sini sekarang.”
Merah muka Puan Ramona bila Qalif mengenepikan Eva. Jasrina sudah mula terbayang akan suasana di rumah nanti. Sudah pasti ibu tirinya itu akan mula mencari pasal dengannya dan menyalahkan dirinya seratus peratus.
“Tapi ini bermakna yang kau pilih Jasrina sebab Eva tak ada kat sini. Pendek kata dia dah lari dan kau terpaksa jadikan Jasrina tunang kau.” Dato’ Jafri pula menyimpulkan. Terkedu Jasrina dan Qalif mendengarnya.
“Abah tak nak kau pilih Rin semata-mata untuk dijadikan mak sanggup atau bidan terjun atau apa-apa sajalah. Ini tak adil untuk Rin. Rin perempuan. Mungkin dia dah ada pilihan sendiri. Abah tak nak kau ambil kesempatan pada saat-saat macam ni.”
Semua orang terdiam.
“Apa perasaan Rin?” Encik Razlan bertanya ingin tahu. “Kalau Rin tak setuju, kita patut putuskan hubungan ni sebelum semuanya melarat nanti.”
Jasrina terasa tekanan yang cukup berat bila semua orang menanti jawapan darinya. Patutkah dia mengaku sahaja yang dia memang sudah lama menyimpan perasaan pada Qalif? Patutkah dia mengakui yang dia sebenarnya sudah lama teringin bergelar tunang dan juga isteri pada Qalif?
“Tak boleh!” Qalif menggenggam tangannya erat. “Qalif tak nak lepaskan gadis yang baik macam Rin ni! Qalif dah sarungkan cincin pada jari dia. Jadi semua orang kena mengaku yang dia tunang Qalif dan bakal isteri Qalif sekarang. Qalif tak nak perempuan lain lagi dalam hidup Qalif.”
“Tapi ini keputusan berat sebelah,” nasihat Dato’ Jafri. Pandangannya dialih pula pada Jasrina. “Rin.. fikir masak-masak. Adakah Rin nak Qalif jadi suami Rin kelak?”
“Betul tu. Fikir masak-masak Jasnita.” Naim sekali lagi mencelah.
“Nama dia Jasrina, lah. Berapa kali nak kena ulang ni?” perbetul Qalif berang.
Naim berlagak selamba dengan teguran Qalif itu. Sebenarnya ketika itu dia sudah terkeliru nama Jasrina dengan nama kawan sekerjanya.
“Awak patut fikirkan lebih lanjut lagi. Jangan ikut cakap si kepala angin tu.” Mulutnya dijuihkan pada Qalif.
“Apa kau kata?”
“Oi..” tegur Datin Shawati. “Kau orang berdua ni patut diam. Fokus kita sekarang ni ialah Jasrina. Rin sayang.. mak cik dah lama kenal Rin dan keluarga Rin. Mak cik tahu hati budi Rin. Mak cik kenal sangat dengan Rin. Terus-terang aje. Jangan takut.”
Jasrina menarik nafas dalam-dalam. Akhirnya dengan berbelah bahagi, lambat-lambat dia menjawab.
“Rin tak ada aral. Rin ikut sahaja apa yang terbaik. Rin tak ada bantahan samada nak teruskan atau tak pertunangan ni.”
“Betul ke ni?” soal Datin Shawati.
Puan Ramona sudah mula tidak senang duduk. Dia tidak mahu Qalif melupakan Eva. Baginya Eva lebih berhak. Anak gadis kesayangannya itu lebih sesuai untuk dipadankan dengan Qalif. Dalam hatinya dia turut merungut. Mengapa Eva lari begitu sahaja pada saat-saat akhir? Tergamak pula Eva mengkhianati kepercayaannya.
“Tak apalah ya jika kita teruskan saja pertunangan ni?”
Datin Shawati sudah mula tersenyum. Dia senang dengan diri Jasrina. Baginya gadis itu lebih baik dari Eva yang lebih manja.
“Iya mama. Qalif setuju sangat-sangat.” Qalif menyokong mamanya. Dia sebenarnya sudah malas mahu memikirkan apa-apa lagi. Jauh di sudut hati dia masih terasa tersinggung dengan tindakan Eva. Apa yang dia nampak hanya satu iaitu Jasrina. Gadis itu tidak pernah mengecewakannya sepertimana Eva.
“Eh, tapi..” Naim cuba membuka mulut namun Dato’ Jafri lebih dulu memainkan peranan.
“Kalau macam tu tak apalah. Abah setuju. Kita teruskan saja. Lagipun semua orang dah sedia maklum tentang majlis tadi. Semua orang dah tahu siapa bakal menantu kita,’ ujarnya gembira.
Encik Razlan turut tersenyum. Dia lega bila semuanya berakhir dengan sepakat. Cuma.. wajah Puan Ramona sahaja yang masih tampak kurang berpuas hati. Isterinya itu hanya diam membisu. Mungkin dia sudah tiada modal lagi untuk membantah.

CEPAT-CEPAT Jasrina menyalin pakaian tidur bila selesai mandi. Sejak pulang dari hotel tadi dia terus naik ke biliknya untuk mengelak dari bebelan Puan Ramona. Takut juga dia jika ibunya itu marah tak tentu hala.
Pintu bilik diselak sedikit. Keseluruhan ruang utama sudah gelap menandakan ibubapanya sudah masuk ke bilik mereka. Bilik Eva gelap-gelita. Tiada tanda-tanda yang adiknya ada pulang ke rumah. Mungkin dia bergegas ke Hong Kong terus dari hotel itu tadi.
‘Hong Kong? Jauhnya..’ Jasrina merungut dalam hati. Kenapa pula Eva ke sana? Apa yang dilakukannya?
‘Pilihan? Antara dua? Masa depan?’ Monolognya sendirian. Dia tidak faham apa yang Eva fikirkan.
Dia berguling-guling di atas katil. Apa yang baru berlaku tadi sedikit terkesan. Apa yang akan berlaku dalam hidupnya kelak? Dia sendiri tidak percaya yang dia sudah menjadi tunangan orang. Dan orang yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Qalif, lelaki yang dicintainya dalam diam selama ini.
Lampu tidur terus dipadam. Dia menjeling jam di sisi katil. Sudah hampir pukul dua belas tengah malam. Matanya cuba dipejam namun terasa sukar untuk dia melelapkan mata. Sudahnya dia terkebil-kebil sendiri kerana otaknya masih ligat mencerna apa yang berlaku.
Ketika itu telefon bimbitnya berbunyi. Dia kenal benar nada dering itu. Tergesa-gesa dia menyeluk celahan bantal.
“Hello..”
“Hai Rin. Dah tidur ke?”
Suara Qalif terdengar di hujung talian.
Jasrina terdiam.
“Marah ke?”
Jasrina masih lagi membisu.
“Marahlah tu,” duga Qalif.
Jasrina mendengus. “Aku nak tidurlah. Esok kerja.”
“Nampak sangat tipu. Besok hari Ahad.”
Jasrina menepuk dahi. Aisehmen.. lupa pulak esok hari Ahad.
“Hari Ahad pun kena tidur awal jugak. Aku ngantuk.”
Qalif tertawa. “Luangkan masa untuk aku sekejap. Boleh tak?”
“Hm..” Jasrina menggumam malas. “Nak apa?”
“Jangan buat suara macam tu boleh tak? Menggodalah.”
‘Ya ALLAH.. Ke situ pulak dia..’ desis hati kecilnya. ‘Lain macam betul si Qalif ni. Biasanya cara cakap macam kasar-kasar. Sekarang ni punyalah lembut..’
“Ei.. gatallah kau ni!” marah Jasrina.
“Dengan tunang sendiri pun nak marah ke?”
“Siapa yang pandai-pandai buat ‘drama’ sendiri? Sekarang aku terpaksa jadi pelakon tak bergaji,” perli Jasrina kasar.
“Oh, siapa punya idea? Siapa yang cadangkan semua ni?”
Qalif memulangkan paku buah keras. Dia cukup seronok dapat mengenakan Jasrina.
“Tahulah tu idea aku tapi tak sangka pulak kau syok sendiri dengan semua ni. Mati-mati aku ingatkan kau nak cancelkan majlis tadi tapi benda lain pulak jadi.”
“Rin..” Qalif mengubah nada suaranya. Cukup sayu menampar telinga.
“Aku serius. Aku tak berniat nak main-mainkan kau. Aku nak perempuan macam kau untuk temankan aku sepanjang hidup aku.”
“Hei.. jangan main-main lagi. Naik seriau aku mendengarnya tahu tak?” Jasrina duduk tegak.
“Betul. Aku tak tipu. Sejak aku terpandang muka kau dalam dewan tadi aku terus bulatkan tekad. Kau ada di situ. Tandanya kau menyokong aku.”
Jasrina tersengih. Sebenarnya dia terus masuk ke dewan kerana mahu mengelakkan diri dari Naim.
“Aku tak nak teringat-ingat kat Eva lagi. Kau tujuan hidup aku sekarang. Kau orang yang paling aku percaya dalam hidup aku.”
“Sudahlah tu.” Jasrina baring semula. “Tak payahlah kau mengayat-ayat aku. Aku dah faham sangat dengan perangai kau. Aku takkan cair dengan ayat-ayat manis kau tu.”
“Em.. tapi tadi kau tak menolak pun bila mama tanya samada kau nak jadi tunang aku atau tak.”
Jasrina mati akal. Dia malu mahu mengaku.
“Itu.. itu sebab aku tak tahan tengok pandangan semua orang. Semua macam mengharap.”
Qalif senyum lebar dengan jawapan Jasrina. “Apa-apalah. Thanks ya Rin.”
“Em.. yalah.”
“Aku betul-betul terharu. Tapi sekali lagi aku nak tegaskan yang aku serius dengan semua ni. Aku nak kau tahu yang aku nekad bukan kerana tindakan Eva tapi kerana kata hati aku sendiri. Aku tak silap memilih kali ni.”
“Iya.. iya.” Jasrina hanya mendengar. Hatinya sejuk bila Qalif berkata sedemikian.
“Qalif! Boleh tak kalau aku nak tidur dalam bilik kau? Eh, kau cakap dengan siapa tu?” Terdengar suara seseorang di belakang. Jasrina tersentak. Itu suara Naim. Nampaknya sepupu Qalif itu ada di rumahnya malam ini.
‘Penyibuk betul..’
Naim sekali lagi mengganggu saat-saat antara mereka berdua.
Okay.. got to go. Good night tau.” Qalif berkata riang agak kelam-kabut sebelum talian dimatikan.
Good night.. sweet dream.. dream of me..” ucap Jasrina namun hanya nada pendek yang berulang-ulang yang membalas ucapan selamat malamnya.

PUAN RAMONA menghempas gagang telefon dengan kasar. Jasrina sudah mula terasa kecut pecut. Angin ibu tirinya tidak begitu baik pagi ini. Iyalah.. siapa yang akan tersenyum bila sesuatu yang dirancang tidak menjadi kenyataan?
Encik Razlan memandang wajah isterinya sekilas. Dia seakan sudah terbiasa dengan situasi itu. “Masih tak dapat call Eva lagi?”
“Kalau dah dapat call tak ada maknanya saya nak marah-marah macam ni,” gerutu Puan Ramona. Serentak itu matanya dihalakan pula pada Jasrina yang sedang mahu duduk di meja makan.
“Adik kau tak ada call?” soalan cepu emas itu dihadiahkan dengan pandangan penuh amarah.
Jasrina cepat-cepat menggeleng. Dia cuba berlagak tenang. “Tak ada.”
“Dia mesti call balik dalam beberapa hari ni. Tunggu ajelah,” celah Encik Razlan.
“Nak tunggu sampai bila? Sudahlah hilang macam tu aje. Entah apa yang jadi kat dia. Awak tak risau ke?”
“Risau.. saya pun risau jugak tapi masalahnya dia kan selalu macam ni. Lagipun kita tahu dia ada kat Hong Kong.”
Jasrina cepat-cepat menelan air teh dan mengunyah sarapannya dengan cepat. Kalau boleh dia tidak mahu berlama-lama di rumah.
“Ayah, mummy.. Rin pergi kerja dulu. Dah lambat ni. Salam..” Huluran tangannya disambut Encik Razlan. Puan Ramona pula menghulurkan tangan pada mulanya namun kemudian dia cepat-cepat menarik tangan bila Jasrina usai mencium tangannya. Jasrina sedikit cuak. Dia tahu ibunya masih marah dan tidak berpuas hati padanya.
Ketika dia mahu mengundurkan keretanya keluar dari halaman, hati kecilnya menjerit.
‘Argh!!! Eva!!! Mana kau pergi?? Cepatlah balik. Habislah aku petang nanti.. nak hidup pun tak senang!!’

Wednesday 9 November 2011

Untuk Dia Yang Sudi Bab 2






BAB 2


“MANA Eva?” Qalif memandangnya dengan pandangan yang cukup tajam.
Jasrina segera mengalih pandang. Tidak sanggup rasanya dia mahu bertentang mata dengan Qalif.
“Tadi tu Eva kan?” soal Qalif benar-benar ingin tahu. Telefon bimbit Jasrina dirampas. Dengan cepat dia mendail semula nombor telefon Eva yang tersenarai dalam ‘dialed numbers’.
‘Du.. du.. du..’
Hanya nada itu yang kedengaran. Nampak ketara Eva telah mematikan telefon bimbitnya.
Jasrina merampas semula Nokia C3 itu. Reaksinya serba-salah.
“Rin!” Qalif memegang bahunya. “Aku dengar tadi! Cakap mana Eva pergi!?”
“Dia.. dia..”
“Dia kata dia nak pergi Hong Kong? Buat apa kat sana?”
“Aku tak tahu. Betul aku tak tahu.” Bersungguh-sungguh Jasrina menyakinkan Qalif.
Pandangan mereka bertaut. Jasrina tergamam.
Qalif mendengus geram. Kasihan pula dia melihat Jasrina serba-salah mahu memandang wajahnya. Pegangannya segera dilepaskan.
"Aku dah agak dah semua ni. Dia takkan ingin serius dengan aku," tuturnya pasrah.
Air muka Qalif tampak sugul sekali.
"Bukan. Bukan macam tu. Cuma dia ada perkara penting yang dia nak uruskan kat sana. Dia kata, dia akan balik semula ke sini. Percayalah." Jasrina memujuk.
“Balik semula ke sini? Bila? Esok? Lusa? Sampai bila kita nak tunggu dia?” sindir Qalif.
Jasrina mati akal.
"Tak payahlah kau nak sebelahi dia lagi Rin. Aku dah tawar hati. Aku betul-betul dah tak ada mood sekarang ni."
Dengan semangat yang hampir separuh hilang, Qalif cuba menapak jauh. Kalau boleh dia tidak mahu berada dekat dengan Jasrina. Pertalian adik-beradik membuatkan gadis itu sedikit sebanyak mengingatkan dia pada Eva.
"Nanti dulu Qalif!"
Lengan Qalif segera dicapai. Terus langkah Qalif terhenti bila dihalang sebegitu. "Apa yang kau nak beritahu pada family kau? Takkan kau nak beritahu yang Eva lari macam tu aje?"
Qalif menarik tangannya kembali. "Biarlah! Biar semua orang tahu."
"Dengar sini Qalif. Takkan kau nak semua orang tahu yang Qalif, anak Dato' Jafri dah ditinggalkan tunang?"
"Habis tu nak buat macam mana lagi? Inilah hakikatnya bukan?" Wajah Qalif masih lagi merah menahan rasa.
Jasrina mengeluh. "Kalau macam tu lebih baik kita beritahu parents kau dengan aku dulu. At least dia orang tahu apa yang berlaku. Kita pun boleh minta pendapat dia orang."
"Kalau beritahu pun dah tak beri apa-apa makna pada aku lagi Rin. Kesudahannya tetap sama. Kita terpaksa call-off majlis malam ni. Akhirnya semua orang akan gelakkan aku. Memang padan dengan muka aku. Berangan sangat nak berpasangan dengan Eva. Ayah aku pun takkan percaya pada aku lagi sebab aku dah malukan dia. Aku dah malukan nama baik keluarga," rintihnya perlahan.
"Qalif," panggil Jasrina. "Kau tak berangan. Memang kamu berdua pasangan secocok untuk bersama. Aku suka bila melihat kamu berdua."
"Tapi Eva tak fikir macam tu." Qalif berkata. "Kalau dia sama-sama rasa apa yang aku rasa, dia takkan tinggalkan aku macam tu aje."
Jasrina menarik nafas dalam-dalam. Serta-merta dia terasa ini bagaikan satu peluang untuknya. Peluang untuk bersama Qalif walaupun mungkin hanya untuk seketika. Tapi.. akankah Qalif setuju?
"Er.. Qalif. Biar apapun yang berlaku, kau masih ada aku. Kau boleh harapkan aku," ujarnya tenang.
Giliran Qalif pula mengeluh. "Nasib baik ada kau. Sekurang-kurangnya aku tak rasa macam betul-betul kena dump."
"Qalif." Jasrina memandangnya penuh makna. "Aku.. Aku..." Tergagap-gagap Jasrina bersuara.
"Apa?"
Jasrina menggenggam tangan. Terasa sukar baginya untuk meluahkan apa yang terlintas di benaknya. Dia mengumpul segala kekuatan.
"Kau ingat lagi tak, apa yang aku pernah kata waktu kat kedai emas tempoh hari?"
Qalif mengerutkan dahi. Dia langsung tidak dapat menangkap maksud kata-kata Jasrina.
"Maaflah tapi.. Apa maksud kau? Aku tak fahamlah."
"Misal katalah.. kalau kau masih nak teruskan majlis ni, aku sanggup jadi penggantinya." Terasa ayat itu bagaikan meluncur laju dari bibir. Jasrina sendiri tidak percaya yang dia boleh berkata begitu. Dia segera tersedar lalu termalu sendiri. Masakan perigi yang mencari timba! Segera dia menekup mulut.
"Eh, aku gurau ajelah. Dahlah! Jom kita masuk dalam. Cari parents kau dan selesaikan hal ni."
"Tunggu dulu Rin."
Kali ini giliran Qalif pula menarik tangannya. Terkedu Jasrina bila dia terasa dinginnya tangan Qalif. Hatinya berdegup kencang.
“Boleh tahan juga idea kau tu.”
Jasrina tersentak.
Tanpa mereka sedari, ada sepasang telinga yang sedang mendengar dari sebalik sudut ruang legar itu. Dia telah terdengar tanpa sengaja apa yang mereka bualkan bila dia ingin menegur Jasrina yang nampak kelam-kabut sebentar tadi.
Naim tersenyum sinis. Badannya dirapatkan ke dinding. Dia begitu yakin Jasrina adalah gadis yang ditemuinya di Mid Valley minggu lepas. Dan kini dia tidak menyangka Qalif dan gadis yang bernama Jasrina itu sedang merancang satu sandiwara.
"Kalau tawaran kau tu masih terbuka, aku nak terima."
Jantung Jasrina terasa bagaikan mahu berhenti berdegup. Entah kenapa dia terasa gusar. Bukannya perasaan gembira bila dia terdengar jawapan yang diharap-harapkan.
"Aku gurau ajelah," tegasnya kali ini.
"Tapi aku serius."
Naik seram Jasrina melihat wajah Qalif yang benar-benar serius itu.
“Kau ni okay ke tak ni?”
“Aku serius,” ulang Qalif.
"Jangan merepek yang bukan-bukan."
"Siapa yang merepek dulu? Siapa yang cadangkan dulu?"
Jasrina terasa bimbang tiba-tiba. Dia tidak menyangka Qalif akan bersetuju.
"Jangan main-mainlah Qalif."
"Aku tak merepek. Aku betul-betul serius. Tak main-main."
Qalif memandang Jasrina penuh erti.
“Dengar sini. Semua orang tahu majlis malam ni untuk meraikan sesuatu. Tapi yang tahu dengan siapa aku nak bertunang cuma parents kau dan aku aje.”
“Masak aku kalau mummy dan ayah tahu. Apa yang aku nak cakap kat dia orang nanti? Tak naklah! Aku tarik balik cadangan bodoh aku tu,” dalih Jasrina. Jika tadi dia beriya-iya, kali ini dia benar-benar berharap Qalif akan berubah fikiran. Bukannya Qalif tidak kenal sikap Puan Ramona. Ibu tirinya itu selalu melebihkan Eva dalam pelbagai perkara. Entah apa yang akan berlaku jika mereka benar-benar meneruskan rancangan ini.
“Jangan takutlah. Aku takkan ambil kesempatan pada kau.”
Jasrina tercegat di situ. Dia terasa darah merah menyerbu naik ke muka.
“Ei..” Spontan Jasrina menolak muka Qalif.
Qalif sudah ketawa bila Jasrina membuat reaksi sebegitu.
“Rin..”
Tangan Jasrina dicapai. Jari-jari halus itu dielus lembut.
“Aku rasa kau lebih baik dari Eva. Kau tak pernah menghampakan aku. Dan.. aku harap kali ni pun kau takkan hampakan aku.”
“Tapi kau sendiri yang cakap kita dah macam adik-beradik. Pandai betul kau bermanis mulut ya?” perli Jasrina.
“Tapi kalau difikir-fikirkan, kau lebih...”
“Qalif, jangan buang masa lagi buat lawak macam ni. Sudah! Jom kita masuk dalam. Tak sanggup aku dengar kau merepek lagi. Dan jangan kau berani buat kerja gila macam Eva!” pintas Jasrina lalu segera menolak tubuh Qalif agar lelaki itu segera bergerak.
Qalif seakan baru tersedar bila Jasrina menyebut nama Eva. Air mukanya berubah. Hatinya remuk tiba-tiba.
‘Kerja gila? Eva?’
Sampai hati Eva pergi begitu sahaja.. sampai hati Eva tinggalkan dia..
Okay! Aku nak beritahu semua orang yang majlis ni cancel!” Qalif terus melangkah dan beredar dari situ.
Jasrina menarik nafas lega. Moga-moga Qalif tidak melakukan apa-apa yang drastik seperti Eva.
“Awak, tunggu kejap!” bisik seseorang.
Ketika itu juga satu pegangan hinggap dilengan. Jasrina terus menoleh. Dia nampak Naim telah tercegat di belakangnya.
‘Alamak.. jangan-jangan dia dengar apa yang aku dan Qalif bualkan tadi, tak?’ Kecut perutnya seketika.
Tekaannya tepat bila Naim membuka mulut. “Saya dengar semua yang kau orang berdua cakap tadi. Apa yang terjadi? Tunang Qalif lari?”
“Taklah! Mana ada?” Jasrina masih cuba beralasan. “Eva tak kemana-mana. Dia tak lari. Dia cuma ada problem nak settlekan aje.”
“Habis tu buat apa sampai ke Hong Kong?” Naim mendesak ingin tahu. “Dia Eva Ilyana ek? Model yang baru nak naik tu?”
Jasrina tidak tahu mahu berkata apa lagi. “Boleh tak jangan sibuk-sibuk nak ambil tahu hal orang lain?”
“Qalif tu sepupu saya.”
Jasrina mencerlung memandang wajah Naim. Terasa geram pula bila lelaki ini terus-terusan bertanya.
“Tolong sikit. Kita tak rapat. Lagipun selama saya berkawan dengan Qalif, saya tak pernah jumpa awak. Sekarang ni awak nak menyibuk pulak dalam urusan kami. Boleh tak awak blah aje dari sini?”
“Amboi kasarnya bahasa.” Naim tersenyum tiba-tiba. “Hati-hati cik Jasrina. Jangan buat tindakan yang akhirnya akan memakan diri sendiri.”
“Tak ada apa-apa yang akan berlaku. Qalif dah kata yang dia akan cancelkan majlis ni.” Jasrina mengujar penuh yakin.
“Awak pasti ke?”
Naim mempamer senyuman mengejek.
“Iya. Saya pasti.”
“Awak masih lagi tak kenal siapa Qalif yang sebenarnya. Dia tak tetap fikiran bila ada sesuatu yang berkait dengan keluarga dia.”
Jasrina mula terasa kecut. Betulkah apa yang Naim katakan? Siapa lelaki ini sebenarnya? Takkan dia begitu kenal dengan peribadi Qalif? Tapi.. kini dia amat-amat percayakan Qalif. Dia yakin Qalif tidak akan mengheret dirinya dalam masalah ini.
“Kalau sesuatu berlaku di luar kawalan awak, jangan setuju. Janji dengan saya!” tambah Naim lagi.
“Tak ada apa yang akan berlakulah!”
“Kalau. Saya kata ‘kalau’!” tekan Naim.
“Dah! Jangan cakap lagi! Kenapa awak sibuk sangat ni?”
“Saya tak nak tengok awak terpaksa jadi ‘mak sanggup’!” Terus Naim memintas.
Jasrina terpana. Lelaki tinggi lampai itu merenungnya tajam. Pandangan mata Naim terasa amat menusuk. Ada sesuatu yang sukar ditafsirkan di balik anak matanya yang hitam pekat itu.
“Lepaskan tangan saya!” Jasrina berkata tegas. Suaranya mula meninggi.
“Tak nak! Janji pada saya dulu!” Naim turut berdegil.
Jasrina tidak dapat mengawal perasaan geramnya lagi. Dia tiba-tiba merasa meluat dengan tingkah Naim yang masih berdegil. Mukanya memerah bila menyedari beberapa orang di situ mula memandang mereka.
Naim terus menggenggam lengan Jasrina bila tiba-tiba gadis itu menyingsing sedikit kainnya lalu..
‘Duk..’
“Aduh!”
Satu sepakan hinggap di celah kakinya. Naim terasa perutnya senak. Pegangan tangannya terus terlepas. Jasrina cepat-cepat berlari ke arah dewan utama.
Naim terduduk di situ. Sempat juga dia ternampak Jasrina menjelir lidah padanya tanda mengejek.
“Encik tak apa-apa?” soal seorang pekerja yang kebetulan melintas lalu. Dia membantu Naim bangun. Sepertimana orang di sekeliling, lelaki itu turut geli hati dengan ‘persembahan percuma’ itu namun ditahannya saja.
Naim masih terasa senak. Dia terkial-kial bangun.

JASRINA menarik nafas lega. Dia senang hati bila terlepas dari Naim. Terus sahaja dia masuk ke dalam dewan dengan senang hati. Punggungnya dilabuhkan di antara saudara-maranya yang lain. Dia nampak Qalif, ayahnya Dato’ Jafri, dan ibunya sedang berdiri di depan dewan. Mereka kelihatan seperti baru sahaja berucap.
            ‘Peliknya.. kenapa semua orang tersenyum-senyum ni?’ getus hati kecilnya. Kalau diikutkan logik, tentulah mereka akan marah bila mengetahui hal sebenar. Pandangannya diarahkan pula pada Puan Ramona dan Encik Razlan. Riak wajah bapanya kelihatan biasa manakala Puan Ramona seperti tadi, masih lagi terjenguk-jenguk bagai mencari sesuatu.
‘Jangan-jangan si Qalif ni masih tak beritahu dia orang lagi, tak?’ Jasrina mula gentar. Dia mahu bangun untuk mendekati ibubapanya namun hasratnya dibatalkan bila Dato’ Jafri mula berucap bangga.
“Hari ini bukan sahaja hari yang bersejarah bagi pembukaan satu lagi anak syarikat kami tetapi hari ini juga adalah hari yang istimewa kerana anak saya akan bertunang.”
Semua hadirin bertepuk tangan. Jasrina menelan liur.
“Masak… Habislah.. si Qalif ni tak beritahu semua orang lagi..” monolognya.
Dia terus memanjangkan leher memandang Qalif. Qalif yang perasan akan kehadiran Jasrina di situ hanya membuat reaksi bersahaja. Jasrina mengetap bibir. ‘Apa ke halnya mamat ni langsung tak pandang aku ni?’
Ketika itu Qalif terus bangun. Jasrina mula terasa jantungnya hampir melompat keluar bila pemuda itu perlahan-lahan melangkah ke arahnya.
Semua mata tertumpu ke arahnya. Dia  nampak Puan Ramona menjegilkan mata melihat apa yang berlaku. Dan dia juga nampak Encik Razlan, Dato’ Jafri, dan Datin Shawati terpinga-pinga.
Qalif menarik Jasrina agar gadis itu berdiri. Jasrina tiada pilihan lain lagi. Dia memandang sekeliling. Semua orang memandangnya. Pandangannya teralih pada pintu dewan. Kala itu Naim baru terjengul di situ. Pemuda itu tampak gelisah. Dia menggeleng kepala seolah-olah memberi isyarat agar Jasrina menolak.
Fikiran Jasrina kosong ketika Qalif kemudiannya menyarungkan sebentuk cincin pada jari manisnya. Dia kenal benar cincin itu. Itu cincin yang dipilihnya untuk Eva.
Serentak itu kerlipan cahaya lampu kamera masing-masing tidak berhenti merakamkan detik itu.