BAB 2
“MANA Eva?” Qalif memandangnya dengan pandangan yang cukup tajam.
Jasrina segera mengalih pandang. Tidak sanggup rasanya dia mahu bertentang mata dengan Qalif.
“Tadi tu Eva kan?” soal Qalif benar-benar ingin tahu. Telefon bimbit Jasrina dirampas. Dengan cepat dia mendail semula nombor telefon Eva yang tersenarai dalam ‘dialed numbers’.
‘Du.. du.. du..’
Hanya nada itu yang kedengaran. Nampak ketara Eva telah mematikan telefon bimbitnya.
Jasrina merampas semula Nokia C3 itu. Reaksinya serba-salah.
“Rin!” Qalif memegang bahunya. “Aku dengar tadi! Cakap mana Eva pergi!?”
“Dia.. dia..”
“Dia kata dia nak pergi Hong Kong? Buat apa kat sana?”
“Aku tak tahu. Betul aku tak tahu.” Bersungguh-sungguh Jasrina menyakinkan Qalif.
Pandangan mereka bertaut. Jasrina tergamam.
Qalif mendengus geram. Kasihan pula dia melihat Jasrina serba-salah mahu memandang wajahnya. Pegangannya segera dilepaskan.
"Aku dah agak dah semua ni. Dia takkan ingin serius dengan aku," tuturnya pasrah.
Air muka Qalif tampak sugul sekali.
"Bukan. Bukan macam tu. Cuma dia ada perkara penting yang dia nak uruskan kat sana. Dia kata, dia akan balik semula ke sini. Percayalah." Jasrina memujuk.
“Balik semula ke sini? Bila? Esok? Lusa? Sampai bila kita nak tunggu dia?” sindir Qalif.
Jasrina mati akal.
"Tak payahlah kau nak sebelahi dia lagi Rin. Aku dah tawar hati. Aku betul-betul dah tak ada mood sekarang ni."
Dengan semangat yang hampir separuh hilang, Qalif cuba menapak jauh. Kalau boleh dia tidak mahu berada dekat dengan Jasrina. Pertalian adik-beradik membuatkan gadis itu sedikit sebanyak mengingatkan dia pada Eva.
"Nanti dulu Qalif!"
Lengan Qalif segera dicapai. Terus langkah Qalif terhenti bila dihalang sebegitu. "Apa yang kau nak beritahu pada family kau? Takkan kau nak beritahu yang Eva lari macam tu aje?"
Qalif menarik tangannya kembali. "Biarlah! Biar semua orang tahu."
"Dengar sini Qalif. Takkan kau nak semua orang tahu yang Qalif, anak Dato' Jafri dah ditinggalkan tunang?"
"Habis tu nak buat macam mana lagi? Inilah hakikatnya bukan?" Wajah Qalif masih lagi merah menahan rasa.
Jasrina mengeluh. "Kalau macam tu lebih baik kita beritahu parents kau dengan aku dulu. At least dia orang tahu apa yang berlaku. Kita pun boleh minta pendapat dia orang."
"Kalau beritahu pun dah tak beri apa-apa makna pada aku lagi Rin. Kesudahannya tetap sama. Kita terpaksa call-off majlis malam ni. Akhirnya semua orang akan gelakkan aku. Memang padan dengan muka aku. Berangan sangat nak berpasangan dengan Eva. Ayah aku pun takkan percaya pada aku lagi sebab aku dah malukan dia. Aku dah malukan nama baik keluarga," rintihnya perlahan.
"Qalif," panggil Jasrina. "Kau tak berangan. Memang kamu berdua pasangan secocok untuk bersama. Aku suka bila melihat kamu berdua."
"Tapi Eva tak fikir macam tu." Qalif berkata. "Kalau dia sama-sama rasa apa yang aku rasa, dia takkan tinggalkan aku macam tu aje."
Jasrina menarik nafas dalam-dalam. Serta-merta dia terasa ini bagaikan satu peluang untuknya. Peluang untuk bersama Qalif walaupun mungkin hanya untuk seketika. Tapi.. akankah Qalif setuju?
"Er.. Qalif. Biar apapun yang berlaku, kau masih ada aku. Kau boleh harapkan aku," ujarnya tenang.
Giliran Qalif pula mengeluh. "Nasib baik ada kau. Sekurang-kurangnya aku tak rasa macam betul-betul kena dump."
"Qalif." Jasrina memandangnya penuh makna. "Aku.. Aku..." Tergagap-gagap Jasrina bersuara.
"Apa?"
Jasrina menggenggam tangan. Terasa sukar baginya untuk meluahkan apa yang terlintas di benaknya. Dia mengumpul segala kekuatan.
"Kau ingat lagi tak, apa yang aku pernah kata waktu kat kedai emas tempoh hari?"
Qalif mengerutkan dahi. Dia langsung tidak dapat menangkap maksud kata-kata Jasrina.
"Maaflah tapi.. Apa maksud kau? Aku tak fahamlah."
"Misal katalah.. kalau kau masih nak teruskan majlis ni, aku sanggup jadi penggantinya." Terasa ayat itu bagaikan meluncur laju dari bibir. Jasrina sendiri tidak percaya yang dia boleh berkata begitu. Dia segera tersedar lalu termalu sendiri. Masakan perigi yang mencari timba! Segera dia menekup mulut.
"Eh, aku gurau ajelah. Dahlah! Jom kita masuk dalam. Cari parents kau dan selesaikan hal ni."
"Tunggu dulu Rin."
Kali ini giliran Qalif pula menarik tangannya. Terkedu Jasrina bila dia terasa dinginnya tangan Qalif. Hatinya berdegup kencang.
“Boleh tahan juga idea kau tu.”
Jasrina tersentak.
Tanpa mereka sedari, ada sepasang telinga yang sedang mendengar dari sebalik sudut ruang legar itu. Dia telah terdengar tanpa sengaja apa yang mereka bualkan bila dia ingin menegur Jasrina yang nampak kelam-kabut sebentar tadi.
Naim tersenyum sinis. Badannya dirapatkan ke dinding. Dia begitu yakin Jasrina adalah gadis yang ditemuinya di Mid Valley minggu lepas. Dan kini dia tidak menyangka Qalif dan gadis yang bernama Jasrina itu sedang merancang satu sandiwara.
"Kalau tawaran kau tu masih terbuka, aku nak terima."
Jantung Jasrina terasa bagaikan mahu berhenti berdegup. Entah kenapa dia terasa gusar. Bukannya perasaan gembira bila dia terdengar jawapan yang diharap-harapkan.
"Aku gurau ajelah," tegasnya kali ini.
"Tapi aku serius."
Naik seram Jasrina melihat wajah Qalif yang benar-benar serius itu.
“Kau ni okay ke tak ni?”
“Aku serius,” ulang Qalif.
"Jangan merepek yang bukan-bukan."
"Siapa yang merepek dulu? Siapa yang cadangkan dulu?"
Jasrina terasa bimbang tiba-tiba. Dia tidak menyangka Qalif akan bersetuju.
"Jangan main-mainlah Qalif."
"Aku tak merepek. Aku betul-betul serius. Tak main-main."
Qalif memandang Jasrina penuh erti.
“Dengar sini. Semua orang tahu majlis malam ni untuk meraikan sesuatu. Tapi yang tahu dengan siapa aku nak bertunang cuma parents kau dan aku aje.”
“Masak aku kalau mummy dan ayah tahu. Apa yang aku nak cakap kat dia orang nanti? Tak naklah! Aku tarik balik cadangan bodoh aku tu,” dalih Jasrina. Jika tadi dia beriya-iya, kali ini dia benar-benar berharap Qalif akan berubah fikiran. Bukannya Qalif tidak kenal sikap Puan Ramona. Ibu tirinya itu selalu melebihkan Eva dalam pelbagai perkara. Entah apa yang akan berlaku jika mereka benar-benar meneruskan rancangan ini.
“Jangan takutlah. Aku takkan ambil kesempatan pada kau.”
Jasrina tercegat di situ. Dia terasa darah merah menyerbu naik ke muka.
“Ei..” Spontan Jasrina menolak muka Qalif.
Qalif sudah ketawa bila Jasrina membuat reaksi sebegitu.
“Rin..”
Tangan Jasrina dicapai. Jari-jari halus itu dielus lembut.
“Aku rasa kau lebih baik dari Eva. Kau tak pernah menghampakan aku. Dan.. aku harap kali ni pun kau takkan hampakan aku.”
“Tapi kau sendiri yang cakap kita dah macam adik-beradik. Pandai betul kau bermanis mulut ya?” perli Jasrina.
“Tapi kalau difikir-fikirkan, kau lebih...”
“Qalif, jangan buang masa lagi buat lawak macam ni. Sudah! Jom kita masuk dalam. Tak sanggup aku dengar kau merepek lagi. Dan jangan kau berani buat kerja gila macam Eva!” pintas Jasrina lalu segera menolak tubuh Qalif agar lelaki itu segera bergerak.
Qalif seakan baru tersedar bila Jasrina menyebut nama Eva. Air mukanya berubah. Hatinya remuk tiba-tiba.
‘Kerja gila? Eva?’
Sampai hati Eva pergi begitu sahaja.. sampai hati Eva tinggalkan dia..
“Okay! Aku nak beritahu semua orang yang majlis ni cancel!” Qalif terus melangkah dan beredar dari situ.
Jasrina menarik nafas lega. Moga-moga Qalif tidak melakukan apa-apa yang drastik seperti Eva.
“Awak, tunggu kejap!” bisik seseorang.
Ketika itu juga satu pegangan hinggap dilengan. Jasrina terus menoleh. Dia nampak Naim telah tercegat di belakangnya.
‘Alamak.. jangan-jangan dia dengar apa yang aku dan Qalif bualkan tadi, tak?’ Kecut perutnya seketika.
Tekaannya tepat bila Naim membuka mulut. “Saya dengar semua yang kau orang berdua cakap tadi. Apa yang terjadi? Tunang Qalif lari?”
“Taklah! Mana ada?” Jasrina masih cuba beralasan. “Eva tak kemana-mana. Dia tak lari. Dia cuma ada problem nak settlekan aje.”
“Habis tu buat apa sampai ke Hong Kong?” Naim mendesak ingin tahu. “Dia Eva Ilyana ek? Model yang baru nak naik tu?”
Jasrina tidak tahu mahu berkata apa lagi. “Boleh tak jangan sibuk-sibuk nak ambil tahu hal orang lain?”
“Qalif tu sepupu saya.”
Jasrina mencerlung memandang wajah Naim. Terasa geram pula bila lelaki ini terus-terusan bertanya.
“Tolong sikit. Kita tak rapat. Lagipun selama saya berkawan dengan Qalif, saya tak pernah jumpa awak. Sekarang ni awak nak menyibuk pulak dalam urusan kami. Boleh tak awak blah aje dari sini?”
“Amboi kasarnya bahasa.” Naim tersenyum tiba-tiba. “Hati-hati cik Jasrina. Jangan buat tindakan yang akhirnya akan memakan diri sendiri.”
“Tak ada apa-apa yang akan berlaku. Qalif dah kata yang dia akan cancelkan majlis ni.” Jasrina mengujar penuh yakin.
“Awak pasti ke?”
Naim mempamer senyuman mengejek.
“Iya. Saya pasti.”
“Awak masih lagi tak kenal siapa Qalif yang sebenarnya. Dia tak tetap fikiran bila ada sesuatu yang berkait dengan keluarga dia.”
Jasrina mula terasa kecut. Betulkah apa yang Naim katakan? Siapa lelaki ini sebenarnya? Takkan dia begitu kenal dengan peribadi Qalif? Tapi.. kini dia amat-amat percayakan Qalif. Dia yakin Qalif tidak akan mengheret dirinya dalam masalah ini.
“Kalau sesuatu berlaku di luar kawalan awak, jangan setuju. Janji dengan saya!” tambah Naim lagi.
“Tak ada apa yang akan berlakulah!”
“Kalau. Saya kata ‘kalau’!” tekan Naim.
“Dah! Jangan cakap lagi! Kenapa awak sibuk sangat ni?”
“Saya tak nak tengok awak terpaksa jadi ‘mak sanggup’!” Terus Naim memintas.
Jasrina terpana. Lelaki tinggi lampai itu merenungnya tajam. Pandangan mata Naim terasa amat menusuk. Ada sesuatu yang sukar ditafsirkan di balik anak matanya yang hitam pekat itu.
“Lepaskan tangan saya!” Jasrina berkata tegas. Suaranya mula meninggi.
“Tak nak! Janji pada saya dulu!” Naim turut berdegil.
Jasrina tidak dapat mengawal perasaan geramnya lagi. Dia tiba-tiba merasa meluat dengan tingkah Naim yang masih berdegil. Mukanya memerah bila menyedari beberapa orang di situ mula memandang mereka.
Naim terus menggenggam lengan Jasrina bila tiba-tiba gadis itu menyingsing sedikit kainnya lalu..
‘Duk..’
“Aduh!”
Satu sepakan hinggap di celah kakinya. Naim terasa perutnya senak. Pegangan tangannya terus terlepas. Jasrina cepat-cepat berlari ke arah dewan utama.
Naim terduduk di situ. Sempat juga dia ternampak Jasrina menjelir lidah padanya tanda mengejek.
“Encik tak apa-apa?” soal seorang pekerja yang kebetulan melintas lalu. Dia membantu Naim bangun. Sepertimana orang di sekeliling, lelaki itu turut geli hati dengan ‘persembahan percuma’ itu namun ditahannya saja.
Naim masih terasa senak. Dia terkial-kial bangun.
JASRINA menarik nafas lega. Dia senang hati bila terlepas dari Naim. Terus sahaja dia masuk ke dalam dewan dengan senang hati. Punggungnya dilabuhkan di antara saudara-maranya yang lain. Dia nampak Qalif, ayahnya Dato’ Jafri, dan ibunya sedang berdiri di depan dewan. Mereka kelihatan seperti baru sahaja berucap.
‘Peliknya.. kenapa semua orang tersenyum-senyum ni?’ getus hati kecilnya. Kalau diikutkan logik, tentulah mereka akan marah bila mengetahui hal sebenar. Pandangannya diarahkan pula pada Puan Ramona dan Encik Razlan. Riak wajah bapanya kelihatan biasa manakala Puan Ramona seperti tadi, masih lagi terjenguk-jenguk bagai mencari sesuatu.
‘Jangan-jangan si Qalif ni masih tak beritahu dia orang lagi, tak?’ Jasrina mula gentar. Dia mahu bangun untuk mendekati ibubapanya namun hasratnya dibatalkan bila Dato’ Jafri mula berucap bangga.
“Hari ini bukan sahaja hari yang bersejarah bagi pembukaan satu lagi anak syarikat kami tetapi hari ini juga adalah hari yang istimewa kerana anak saya akan bertunang.”
Semua hadirin bertepuk tangan. Jasrina menelan liur.
“Masak… Habislah.. si Qalif ni tak beritahu semua orang lagi..” monolognya.
Dia terus memanjangkan leher memandang Qalif. Qalif yang perasan akan kehadiran Jasrina di situ hanya membuat reaksi bersahaja. Jasrina mengetap bibir. ‘Apa ke halnya mamat ni langsung tak pandang aku ni?’
Ketika itu Qalif terus bangun. Jasrina mula terasa jantungnya hampir melompat keluar bila pemuda itu perlahan-lahan melangkah ke arahnya.
Semua mata tertumpu ke arahnya. Dia nampak Puan Ramona menjegilkan mata melihat apa yang berlaku. Dan dia juga nampak Encik Razlan, Dato’ Jafri, dan Datin Shawati terpinga-pinga.
Qalif menarik Jasrina agar gadis itu berdiri. Jasrina tiada pilihan lain lagi. Dia memandang sekeliling. Semua orang memandangnya. Pandangannya teralih pada pintu dewan. Kala itu Naim baru terjengul di situ. Pemuda itu tampak gelisah. Dia menggeleng kepala seolah-olah memberi isyarat agar Jasrina menolak.
Fikiran Jasrina kosong ketika Qalif kemudiannya menyarungkan sebentuk cincin pada jari manisnya. Dia kenal benar cincin itu. Itu cincin yang dipilihnya untuk Eva.
Serentak itu kerlipan cahaya lampu kamera masing-masing tidak berhenti merakamkan detik itu.

