BAB 1
“WHAT are you talking about?” Suara itu sekali lagi bergema di dalam kedai.
Jasrina menjengukkan kepala. Dia nampak seorang lelaki yang berpakaian kemas sedang memarahi pekerja di kaunter.
“Cuba try lagi sekali! Itu pun nak kena ajar ke?” Tinggi suara lelaki itu. Semua mata yang tertumpu ke arahnya langsung tidak dihirau.
“Maaf encik. Tapi.. kad ni decline. Lagipun tak ada cip. Encik ada kad kredit lain?” ujar juruwang itu takut-takut. Pemuda itu lantas membuka dompetnya sambil mulutnya masih lagi merungut.
Satu lagi kad kredit dihulur dengan tidak ikhlas. Jasrina sekadar memerhati. Kali ini slip pengesahan berjaya dicetak. Juruwang itu menarik nafas lega. Dia cepat-cepat menghulurkan kembali kad kredit tersebut. Tandatangan segera diturunkan. Beg kertas ditarik. Dengan muka masam mencuka, pemuda itu terus beredar.
Jasrina tersenyum sendiri. Dia segera menuruti langkah lelaki itu. Setiap gerak-gerinya diperhati dengan teliti. Jasrina tertawa kecil bila lelaki itu terlaga bahu dengan orang lain. Amarahnya meletus lagi. Wajahnya masih merah. Entah apa yang menyebabkan moodnya buruk begitu, dia tidak pasti.
Langkahnya terhenti bila lelaki itu singgah di depan sebuah kedai barang kemas yang cukup terkenal. Jasrina ikut masuk ke dalam. Kehadirannya masih lagi tidak disedari.
“Where’s your manager?” Angkuh nada suaranya.
Seorang lelaki pertengahan umur keluar menemuinya. Dia turut membawa bersama sebuah kotak kecil. Jasrina tidak berlengah lagi. Dia segera mendekati lalu menepuk bahu pemuda itu.
“Hai Qalif!”
“Eh, Rin!” Wajah Qalif serta-merta berubah ceria. “What are you doing here?”
“Stalking.” Selamba Jasrina menjawab.
“Biar betul kau ikut aku?”
Jasrina ketawa besar bila mata Qalif mencerlung ke arahnya, panik!
“Aku nampak mood kau macam tak baik aje. Habis semua orang kena tempiasnya. Tu yang aku risau tu. Well, itu ke cincinnya?”
“Yes..” Qalif tampak gembira dengan kehadiran Jasrina di sisi.
“For the one and only.. my dear Eva. Tak sabar aku nantikan our big day.”
Tanpa berlengah Qalif terus membuka kotak berbaldu itu. Sebentuk cincin bertatahkan butir-butir berlian terserlah kilauannya.
Qalif mengalihkan pandangan pada lelaki tadi. “Perfect! I’ll take it today.”
“Cantik..” puji Jasrina. “Mesti mahal, kan?”
Dia turut terpesona dengan apa yang dilihat. Bukankah berlian dikatakan teman baik wanita? Apatah lagi jika ianya tanda ikatan si jejaka idaman.
“Mestilah cantik. And of course mahal. Eva sendiri yang nak design macam ni.”
“Bertuah Eva. Kau sanggup buat apa aje untuk dia.”
Qalif senyum bangga.
“Dah lama aku tunggu dia. Kali ini pun nasib baik dia setuju untuk bertunang dulu. Itu pun lepas habis fashion week kat Singapore.”
“Really?” Jasrina mengerutkan dahi. Dia amat mengenali gadis yang bernama Eva Ilyana itu. Tidak dinafikan Eva memang gadis yang cantik. Apatah lagi dia berwajah Pan-Asian. Sebab itulah dia berpeluang menceburi dunia peragaan.
Pandangannya tertaut pada Qalif ketika mereka sama-sama berbicara. Bagi mereka yang tidak mengenali lelaki itu, mungkin mereka akan beranggapan dia adalah seorang yang sombong dan bongkak. Namun Jasrina lebih tahu akan karakter sebenar Qalif. Qalif rapat dengannya dan Eva sejak kecil. Keluarga mereka bersahabat baik.
“Betul.”
“Bila aku nak merasa nasi minyaknya pulak?”
“Hoh,” Qalif agak kurang senang dengan soalan itu. “Jangan tanya dulu. Simpan dulu soalan kau tu. Lepas tunang baru boleh jawab.”
“Dia tak nak kahwin lagi ya?” duga Jasrina.
“Isyh.. kau ni.. jangan tanya lagi.”
“Em..” Lengan Qalif dirangkul manja. “Kalau kau tak jadi kahwin dengan dia, aku sudi jadi penggantinya. Tapi tu mustahillah, kan?”
“Kita dah macam adik-beradik. Kau orang yang paling last aku akan pilih. Itupun kalau dah terpaksa sangat.”
Jasrina ketawa. Dia tahu Qalif sekadar bergurau. Kata-kata Qalif langsung tidak terkesan baginya.
“EVA, kau patut balik awal sikit tadi. Sekarang tengok, siapa yang susah? Kau jugak, kan?” bebel Jasrina.
Eva sekadar mencebik. Dia hanya diam tatkala wajahnya dirias jurusolek.
“Dah tahu majlisnya hari ni, kau still terkejar-kejar ke sana sini lagi,” sambung Jasrina lagi. Hatinya sedikit panas melihat Eva masih lagi tidak berkutik. Gadis itu hanya tersenyum-sumbing.
“Rilekslah Rin. Sepanjang usia Eva 24 tahun ni, Eva tak pernah sekalipun lewat tau. Sempat lagi ni. Ada lagi setengah jam. Tetamu semua tak sampai lagi.”
“Tapi.. tengoklah muka kau tu. Separuh siap. Rambut tak dandan lagi.”
“Jangan risau. Shelly boleh buat on-time. Right, Shelly?” soal Eva seraya melirik ke arah jurusolek ‘lembut’ itu.
“Ei.. jangan takutlah! Sempat punya. I’ve got the skill.” Shelly mengiyakan.
“Eh, thanks tau pasal hari tu kau jumpa balik handphone yang tercicir ni. Tak perasan langsung. Bila nak call mummy hari tu baru perasan handphone hilang.”
“No hal punya.”
Jasrina menarik nafas lega. Dia sudah lupa akan insiden itu. Wajah lelaki misteri itu turut sama kabur. “Rin keluar dulu. Nanti Rin datang balik.”
“Iyalah.”
Jasrina segera menuju ke Pelita Ballroom. Tetamu sudah memenuhi ruang. Tidak ramai orang yang dijemput. Hanya yang rapat sahaja. Dia menapak mendekati seorang lelaki dan wanita pertengahan umur yang berdiri di depan dewan.
“Ayah, mummy,” tegur Jasrina penuh hormat.
Encik Razlan tersenyum bila Jasrina menyalami tangannya. Anak gadis itu cukup ayu dengan kebaya perak berkerawang dan rambut yang dilepas bebas. Puan Ramona pula seakan resah.
“Eva dah bersiap ke?”
“In the room. Dia confident boleh siap on-time. Mummy jangan risau.”
Puan Ramona tidak membalas kata-katanya.
“Dia tu memang selalu macam ni.” Encik Razlan berkata.
“Mummy nak jumpa keluarga Qalif sekejap,” ujar Puan Ramona.
Jasrina hanya memerhati ibu tirinya beredar. Dia dan Eva sebenarnya adalah adik-beradik tiri. Encik Razlan mengahwini Puan Ramona ketika dia baru berusia enam tahun. Ketika itu ibu kandungnya telah dua tahun meninggal dunia akibat sirosis hati. Bekas suami Puan Ramona pula berbangsa Inggeris. ‘Sebab itulah Eva cantik. Dia mewarisi rupa ibu dan darah ayahnya,’ desis hati kecil Jasrina.
Lamunannya terhenti bila Encik Razlan menepuk bahunya. “Anak ayah cantik sangat hari ni. Tak berkelip ayah tengok.”
“Tak secantik Eva. Dia watak utama hari ni.” Jasrina tergelak.
“Isyh.. Rin pun lawa juga. Dua-dua anak ayah lawa.”
“Rin tahu. Thank you.” Jasrina ketawa senang.
DERINGAN telefon bimbit mengisi ruang. Eva segera menjawab. “Hello.. iya. Ya.. Betul tu. Apa?” Eva terjerit riang seketika.
“Betul ke ni?” Dia bangun tiba-tiba.
Shelly tersinggung bila kerjanya terganggu. “Duduk diam-diam.”
“Syh..” Cepat-cepat Eva meletakkan jari telunjuk ke bibir, isyarat menyuruh Shelly diam.
Dahinya berkerut mendengar butir bicara si pemanggil. Bila talian dimatikan, senyumannya pudar. Dia memandang Shelly dengan wajah yang cukup serius.
QALIF menyusur tangga lobi dengan perasaan yang sedikit resah. Dia gugup memikirkan apa yang bakal diucapkan nanti. Hanya saudara-mara mereka yang rapat sahaja tahu akan tujuan majlis ini diadakan. Namun tiada siapa yang tahu siapa bakal tunangannya. Konon mahu memberi kejutan pada semua.
“Hoi,” tegur Jasrina.
Qalif tersentak.
“Masuk dalamlah. Tercegat kat sini buat apa?”
“Aku takutlah.”
“Hah?” Jasrina ketawa. “Apa yang kau nak takutkan? Ini kan majlis kau?”
“Betul ke apa yang aku buat ni?” soal Qalif kebingungan.
Hairan Jasrina mendengarnya. “Apa yang tak betul pulak? Kau memang dah lama sukakan Eva, bukan? Hari ni kau dan dia akan bertunang. Bukan ini yang kau harap-harapkan?”
Qalif menggigit bibir. “Agaknya ini perkara biasa kot. Iyalah, untuk rasa cuak waktu-waktu macam ni.”
“Hei.. nervousnya mengalahkan perempuan!”
“Tapi sekarang aku dah rasa tenang sikit. Thanks to you. Lega sikit rasanya bila kau ada kat sisi aku. Macam selalu.”
Kata-kata Qalif terasa dalam menusuk ke kalbu.
‘Aku memang selalu ada di samping kau, Qalif. Cuma kau sahaja yang tidak sedar akan kewujudan aku. Aku sayangkan kau. Aku sukakan.. argh..’ jerit hati kecilnya. Jasrina lantas memalingkan muka. Tidak sanggup rasanya dia berlama-lama di situ bersama Qalif.
“Hai Qalif! Lama tak jumpa.” Suara itu mengalih perhatian mereka.
Pandangan mereka tertaut pada seorang lelaki yang menghampiri. Jasrina terasa bagai ada sesuatu yang biasa dilihat pada wajah lelaki itu. Perasaan bagai kenal, tapi di mana?
“Datang jugak kau hari ni. Ingatkan tak muncul-muncul lagi dah.” Qalif menegur.
Lelaki itu tersenyum. Cukup manis wajahnya.
“Well Rin. Aku kenalkan. Ini sepupu aku. Pangkat abanglah sebab dia tua dua tahun dari aku. Rasanya kau tak pernah lagi jumpa dia.”
“Hai. Saya Naim.”
“Jasrina.” Huluran tangan Naim segera bersambut.
“Qalif, aku rasa aku patut check bakal tunang kau. Tengok dia dah siap ke belum. Minta diri dulu ya?”
“Okay. See you later.”
“Tunang? Jadi majlis hari ni untuk pertunangan kau ke?” soal Naim bila Jasrina sudah pergi.
“Yup. Kau mesti terkejut bila kau tahu siapa tunang aku tu.” Qalif tersenyum bangga.
“Siapa dia? Artis? Anak raja? Atau gadis biasa? Aku kenal ke?”
Qalif sekadar tertawa. “Tengoklah sendiri nanti.”
“MACAM mana ni, nyah?” Shelly yang bertanggungjawab menyolek Eva tadi tidak keruan.
Jasrina terasa pipinya panas. Dia tidak menyangka Eva setekad ini. Dia tidak tahu apa yang telah merasuk fikiran Eva.
Tanpa mempedulikan Shelly dia terus berlari keluar. Langkahnya dihalakan ke lobi. Dalam kekalutan itu dia langsung tidak nampak kelibat Eva. Tiba-tiba Jasrina ternampak seorang gadis menapak menuju ke luar.
“Eva!” jerit Jasrina. Gadis itu dan beberapa orang yang lain turut menoleh. Bukan dia. Bukan Eva yang ada di situ.
Telefon bimbitnya lantas dicapai. Nombor telefon Eva segera didail. Dapat! Talian segera bersambung.
“Eva, kau dekat mana ni?!”
“Rin..” Sayu suara Eva.
“Jangan main-main. Qalif dengan family dia dah ada kat sini.”
“Rin.. I’m sorry..”
Jasrina terasa kalut. “Kenapa tiba-tiba ni? Kau nak pergi mana?”
“Ini masa depan Eva. Eva kena pilih antara dua.”
“Pilih apa?” Jasrina tidak faham.
“Rin,” ujar Eva. “I need to go. Maaf ya. Tolong beritahu Qalif yang Eva tak dapat nak teruskan majlis malam ni. Kalau dia masih sukakan Eva, dia boleh tunggu kan?”
“Eva!” teriak Jasrina. “Jangan jadi macam budak keciklah! Ni perkara serius tahu tak? Malulah dengan family Qalif. Dia orang dah arrange semua ni.”
“Tolong,” rayu Eva. “I need to hang up now. Jangan risau. Dah sampai Hong Kong nanti Eva call.”
“Hah?! Hong Kong?! Buat apa kat sana?”
“Rin tolong beritahu mummy dan ayah ya. Okay, bye!” Talian segera dimatikan.
Ketika itu seseorang menepuk lembut bahunya. Tersentak Jasrina bila Qalif ada dibelakangnya. Wajah lelaki itu sudah merona merah.

No comments:
Post a Comment